
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, disokong oleh penurunan hasil Perbendaharaan AS, ia memberi kesan kepada dolar AS ketika pasaran menetapkan harga berikutan pendirian dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS yang lebih akomodatif.
Pada 8 pagi, ringgit diniagakan pada 4.0450/0550 berbanding dolar AS 4.0465/0525 ketika ditutup pada Rabu.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata peningkatan ringgit mencerminkan kedudukan dolar AS semalaman yang lebih lemah apabila hasil Perbendaharaan AS menurun sedikit.
Beliau memberitahu Bernama bahawa penyusutan dolar As daripada paras tertinggi baru-baru ini terutamanya berbanding yen Jepun menunjukkan pasaran sedang mula mengurangkan kedudukan defensif dolar AS secara beransur-ansur dan bukannya beralih sepenuhnya kepada mod mengelak risiko.
“Pada masa yang sama, harga minyak dan emas lebih kukuh memberikan latar belakang luaran yang menyokong ringgit. Harga tenaga lebih tinggi menambah baik imbangan perdagangan Malaysia, manakala kenaikan harga emas memberi isyarat kepada penyusutan hasil sebenar AS, cenderung memihak kepada mata wang pasaran pesat membangun,” katanya.
“Oleh itu, gabungan hasil AS lebih rendah dan sokongan komoditi menunjukkan keuntungan ringgit didorong oleh asas makro-kewangan dan bukannya aliran spekulatif,” katanya.
Mohd Sedek menjangkakan ringgit akan kekal terikat dalam jajaran kecil dengan kecenderungan menaik secara sederhana hari ini, petunjuk jangka pendek dipandu oleh pergerakan hasil AS dan perubahan seharian dalam dolar AS.
Dalam dagangan awal, ringgit kebanyakannya meningkat berbanding sekumpulan mata wang utama, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 2.5527/5593 daripada 2.5488/5526 ketika ditutup pada Rabu.
Unit tempatan naik berbanding euro kepada 4.7104/7220 daripada 4.7146/7216 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.4361/4495 daripada 5.4446/4526.
Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.1410/1493 daripada 3.1432/1481 dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.8437/8841 daripada 12.8714/8958 sebelum itu.
Ia naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 239.8/240.5 daripada 239.9/240.3 dan peso Filipina kepada 6.80/6.82 daripada 6.81/6.82 sebelumnya. – Bernama