

SARATOK: Komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar terus diperkukuh menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, antara projek yang telah siap sepenuhnya ialah pembinaan baharu jalan masuk dan pagar di Dewan Serbaguna Rumah Dom Brues, Sungai Antu, sekali gus meningkatkan kemudahan awam dan kesejahteraan penduduk setempat.
Menurut beliau, projek yang diselia oleh Majlis Daerah Saratok (MDS) selaku agensi pelaksana itu bermula pada 24 November 2025 dan dijadualkan siap pada 24 Mei 2026, namun berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal.
“Alhamdulillah, projek ini telah siap lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan. Kejayaan ini membuktikan kerjasama erat semua pihak dalam memastikan kemudahan rakyat menjadi keutamaan,” katanya ketika mengadakan lawatan tapak ke projek berkenaan baru-baru ini.
Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas penyaluran dana pembangunan yang berterusan, selain menghargai peranan MDS dan pihak kontraktor yang melaksanakan projek dengan berkesan.
“Projek RTP seperti ini telah membawa perubahan ketara kepada landskap pembangunan di kawasan DUN Kalaka dan memberi impak positif kepada kehidupan masyarakat luar bandar,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan projek RTP secara berterusan merupakan usaha nyata kerajaan negeri dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat, selaras dengan matlamat memastikan pembangunan yang seimbang dan inklusif di seluruh Sarawak.
Dengan siapnya projek di Rumah Dom Brues, penduduk kini menikmati akses jalan yang lebih selesa serta persekitaran dewan yang lebih selamat, teratur dan kondusif untuk kegunaan komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman