


SERIAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Unit Operasi Stesen Penguatkuasa Serian telah melaksanakan Ops Harian melalui aktiviti rondaan dan pemantauan penguatkuasaan di beberapa laluan utama di sini, semalam.
Operasi tersebut melibatkan kawasan Jalan Kuching–Serian, Samarahan serta Jalan Serian–Balai Ringin, yang dikenal pasti sebagai laluan berisiko tinggi melibatkan pergerakan kenderaan perdagangan dan persendirian.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak, sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 120 kenderaan telah diperiksa melibatkan kenderaan perdagangan dan persendirian.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan telah dikesan antaranya pemandu tidak memiliki lesen memandu yang sah, membawa muatan melebihi had yang dibenarkan, pelanggaran syarat permit LPKP serta lain-lain kesalahan berkaitan aspek teknikal kenderaan,” menurut kenyataan itu.
JPJ Sarawak menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan, menyeluruh dan berfokus sebagai langkah pencegahan awal bagi meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang jalan raya.
Tambahnya, usaha berkenaan juga bertujuan memastikan keselamatan serta kesejahteraan semua pengguna jalan raya sentiasa terpelihara, khususnya di laluan utama yang mempunyai kadar pergerakan trafik yang tinggi.
Oleh Shikin Mahmud