KUCHING: Anak kelahiran Sarawak, Francisca Luhong James yang dinobat sebagai Miss Universe Malaysia 2020 berhasrat untuk menggayakan pakaian tradisional etnik Dayak bagi segmen ‘national costumes’ apabila ke peringkat pertandingan Miss Universe nanti.
Meskipun keputusan terletak pada Miss Universe Malaysia Organization
(MUMO), namun beliau berharap agar hasratnya itu dapat dipertimbangkan.
“Saya berhasrat untuk memperagakan gabungan pakaian suku kaum etnik Iban, Kayan-Kenyah yang menonjolkan ‘Royal Dayak’,” kata beliau ketika kunjungan ke Utusan Sarawak, semalam.
Beliau turut memaklumkan akan mengemukakan cadangan tersebut kepada MUMO setelah kembali ke Kuala Lumpur pada hujung minggu ini.
Dalam perkembangan lain, Francisca berkata,beliau akan mengetengahkan isu keciciran pelajar sebagai salah satu agensi tanggungjawab sosial beliau sebagai Miss Universe Malaysia.
“Saya terkilan apabila mendapat tahu daripada seorang rakan bahawa masih terdapat kanak-kanak tercicir daripada persekolahan dan amat menyedihkan senario ini berlaku di Kuching.
“Justeru, saya berharap pihak kerajaan dapat mendukung hasrat ini dengan melibatkan kerjasama daripada ibu bapa untuk bersama-sama melihat kepada masalah anak-anak yang tercicir daripada alam persekolahan ini.
“Ini kerana, bidang pendidikan adalah amat penting sebagai landasan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti pada masa akan datang,” luah beliau.
Francisca Luhong James lahir pada 14 Oktober 1995 juga dikenali sebagai Francisca Luhong, merupakan model dan Ratu Cantik Malaysia yang dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2020.
Pada usia 19 tahun,Francisca Luhong mengambil bahagian dalam Miss Cultural Harvest Festival 2015, pertandingan kecantikan etnik yang diadakan setiap tahun semasa Harvest Festival dan Cerita Rakyat Sarawak yang mana beliau mendapat naib juara ketika itu.
Pada 2016, Francisca Luhong juga adalah salah seorang finalis dalam pertandingan Miss World Malaysia 2016 selain berjaya memenangi tiga daripada 12 anugerah anak syarikat iaitu Miss Talent,Miss Natural Beauty dan Miss Elegant.
Pada akhir pertandingan,beliau berakhir sebagai Naib Johan keempat. Namun semasa diumumkan, gelarannya ditukar dari tempat kelima ketempat ketiga kerana beliau menggantikan kedudukan Naib Juara kedua.
Dua tahun kemudian, beliau mencuba nasib untuk kali kedua dalam pertandingan yang sama.
Beliau memenangi dua daripada enam anugerah anak syarikat iaitu People’s Choice Award dan Top Model Award.
Ketika Miss World Malaysia 2018, beliau adalah salah seorang finalis Top 5.
Pemenang akhirnya,Larissa Ping Liew dan naib juara kedua, Naomi Sim adalah rakan dari Sarawak.
Pada 2020, Francisca Luhong mengambil bahagian dalam pertandingan Miss Universe Malaysia 2020 dan akhirnya memenangi per tandingan tersebut. Beliau adalah satu-satunya finalis dari Sarawak yang bertanding.
Sebagai pemenang,beliau mendapat hak untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Universe 2020 yang akan datang. Malam Gala Miss Universe Malaysia 2020 diadakan pada 5 September 2020 di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Francisca Luhong adalah Miss Universe Malaysia ke-8 dari Sarawak dan juga wanita Dayak pertama yang memenangi gelaran berprestij itu.
Kali terakhir anak Sarawak memenangi gelaran ialah Adelaine Chin Ai Nee yang berjaya merangkul mahkota pada 2007.
Sempena kunjungan Francisca tersebut, Pengurus Besar Utusan Sarawak Ivy Ngo turut merakamkan terima kasih kepada Petra Enterprise bagi memeriahkan lagi kunjungan tersebut.
Oleh Melvera Munded