
SIBU: Peminat sukan sepak takraw di sekitar bandar ini dipelawa menyertai Pertandingan Sepak Takraw Piala DUN N.52 Dudong 2026 yang akan berlangsung pada 31 Januari hingga 1 Februari depan di Dewan Stadium Azman Hashim, Sibu Jaya.
Presiden Kelab Sepak Takraw Sibu Jaya (KESIJA), Hassan Abdul Hamid berkata, pertandingan tersebut dianjurkan oleh KESIJA dengan sokongan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurutnya, penganjuran kejohanan itu bertujuan menggalakkan penglibatan masyarakat khususnya golongan belia dalam sukan tradisional selain mencungkil bakat baharu dalam arena sepak takraw.
“Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM80 bagi setiap regu dan pertandingan ini menawarkan hadiah lumayan kepada para pemenang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, juara akan membawa pulang wang tunai RM700 berserta piala dan pingat, manakala naib juara menerima RM500 berserta piala dan pingat.
“Tempat ketiga bersama pula akan menerima RM250 bagi setiap regu berserta piala dan pingat,” tambahnya.
Menurutnya lagi, tarikh akhir pembayaran penyertaan ditetapkan pada 29 Januari ini dan cabutan undi akan diadakan pada hari yang sama di Gelanggang Sepak Takraw Sibu Jaya pada 6.00 petang.
Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan tersebut boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Hassan Abdul Hamid di talian 014-8944785 atau Hussein Abdul Hamid di talian 014-5992369.
Oleh Tarani Lanting