
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri terus memperkukuh pembangunan sukan di kawasannya dengan menyalurkan sumbangan berjumlah RM4,000 kepada Pusat Cemerlang (PC) Saratok bagi menyokong penglibatan dan persediaan atlet sukan petanque.
Sumbangan itu disampaikan susulan kunjungan hormat wakil PC Saratok, Abang Shamshudin Abang Ahmad yang juga Jurulatih Zon Barat, di Pusat Khidmat ADUN Kalaka di sini, semalam.
Mohamad Duri berkata, pertemuan tersebut turut membincangkan proses pemilihan pemain Petanque bagi mewakili Zon Barat yang merangkumi Sri Aman, Betong dan Sarikei ke Kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR) 2026.
Beliau berkata kejohanan itu dijadualkan berlangsung di Arena Petanque Sri Aman pada 5 hingga 8 Februari depan.
“Saya amat berbesar hati dapat membantu menyalurkan sumbangan ini bagi memastikan persediaan atlet berjalan lancar.
“Pasukan Bahagian Betong kali ini diwakili sepenuhnya oleh 14 atlet dari PC Saratok, melibatkan tujuh atlet lelaki dan tujuh atlet wanita,” katanya.

Keputusan sesi pemilihan menyaksikan dominasi atlet PC Saratok apabila kategori lelaki berjaya merangkul tempat pertama, kedua, ketiga, keempat dan ketujuh, manakala kategori wanita menduduki tempat ketiga.
Susulan prestasi cemerlang itu, seramai enam atlet PC Saratok terpilih secara rasmi menyertai pasukan Zon Barat, bergandingan dengan lima atlet dari Sarikei dan tiga atlet dari Sri Aman bagi menghadapi SUKSAR 2026.
Mohamad Duri turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam mengharumkan nama kawasan Saratok dan Kalaka.
“Syabas dan tahniah kepada atlet yang terpilih. Penghargaan juga saya berikan kepada Pengurus PC Saratok, Rosdi serta barisan jurulatih, Abang Shamshudin dan Fatimah atas komitmen berterusan mereka,” katanya.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi; Setiausaha Kehormat PBB Kalaka, Gapor Ahmad; serta Pegawai Pusat Khidmat ADUN Kalaka, Hazirah Kasdi.
Oleh Adi Safarman