
JAKARTA: Hujan berterusan di Jakarta dan kawasan sekitarnya menyebabkan beberapa bahagian ibu kota dilanda banjir hari ini, menjejaskan 28 kejiranan dan 44 jalan setakat tengah hari.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BPBD) berkata pihak berkuasa BPBD Jakarta telah mengerahkan petugas untuk memantau situasi banjir di semua kawasan terjejas serta akan menyelaras usaha dengan agensi dan jabatan lain bagi melaksanakan operasi pengepaman air dan memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik.
“Usaha ini sedang dijalankan bersama ketua daerah kecil dan ketua daerah tempatan, selain menyediakan keperluan asas untuk penduduk terjejas,” menurut BPBD, sambil menambah bahawa operasi tersebut melibatkan agensi sumber air, agensi lebuh raya serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.
BPBD berkata pihaknya menyasarkan banjir surut dalam tempoh singkat dan menggesa orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada.
Orang ramai turut berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaan banjir di kawasan masing-masing melalui media sosial, dengan memuat naik gambar dan video yang menunjukkan kenderaan serta rumah separa tenggelam, termasuk kawasan tempat letak kereta bawah tanah di pusat beli-belah.
Sementara itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) meramalkan langit berawan hingga hujan renyai di seluruh Jakarta, termasuk Jakarta Pusat, Jakarta Utara, Jakarta Barat, Jakarta Selatan dan Jakarta Timur sepanjang Isnin.
Menurut data BMKG, suhu dijangka antara 22 hingga 27 darjah Celsius, dengan kelembapan antara 77 hingga 97 peratus.
-Bernama