

SARIKEI: Sebuah kereta jenis Perodua Kancil musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Flyover Jalan Bulat pada awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.28 pagi.
“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Unjah Janggau di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Perodua Kancil telah terbakar sepenuhnya dengan kemusnahan 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Katanya, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula air dari jentera bagi mengawal dan memadam kebakaran tersebut.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 1.55 pagi dan operasi ditamatkan pada 2.03 pagi setelah keadaan disahkan selamat.
“Kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa,” katanya.
Oleh Earl Anek