
SARATOK: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok meneruskan rondaan dan pemantauan rapi di kawasan berisiko banjir melibatkan kawasan Kabong dan Roban susulan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, rondaan telah dijalankan oleh Balai Polis Kabong dan Balai Polis Roban bermula 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari bagi memastikan keadaan keselamatan serta paras air sungai berada dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, pemantauan di kawasan Kabong melibatkan beberapa lokasi antaranya Kampung Wawasan, Kampung Baru, Kampung Sungai Benang, Kampung Alit, Kampung Nyabor serta kawasan sekitar Kabong mendapati cuaca dari pagi hingga tengah hari adalah mendung namun tidak menunjukkan sebarang peningkatan paras air.
“Paras air Sungai Batang Nyabor, Sungai Benang Kabong dan Sungai Endot masih berada pada tahap selamat dan terkawal, dengan tiada kawasan dinaiki air serta tiada mangsa atau rumah terjejas direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemantauan di kawasan Roban turut merangkumi Sungai Tapang dan kawasan Kedoh, dengan keadaan cuaca mendung disertai hujan renyai-renyai pada sebelah pagi dan tengah hari, namun paras air Sungai Tapang dan Sungai Kedoh kekal stabil tanpa sebarang tanda peningkatan.
Tambahnya, sepanjang rondaan dijalankan, tiada sekolah terjejas, tiada kerosakan harta benda, tanah runtuh, kecederaan mahupun kemalangan dilaporkan di kedua-dua kawasan terbabit, selain tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini.
“Operasi pemantauan melibatkan kekuatan anggota polis dengan penggunaan kenderaan rondaan, dan keseluruhan penugasan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.
DSP Mathew menegaskan, penduduk setempat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang kejadian kenaikan paras air atau risiko banjir kepada Bilik Gerakan IPD Saratok di talian 083-436102 atau Balai Polis Roban di talian 083-427202.
Beliau turut memberi jaminan bahawa PDRM Saratok bersama agensi berkaitan sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman