
BINTULU: Pusat Khidmat Parlimen Bintulu menggerakkan usaha bantuan segera bagi membantu mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekitar Daerah Bintulu dan Sebauh.
Pegawai Tugas-tugas Khas II kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Steven Kong Kai Seng berkata, bantuan berupa makanan telah disalurkan ke PPS Dewan Suarah.
Menurut beliau, usaha bantuan itu akan diteruskan dengan penghantaran makanan dan minuman ke PPS Balai Raya Sebauh, selaras dengan keperluan semasa di lapangan.
Selain itu, Steven Kong turut menasihati penduduk yang terjejas banjir supaya segera memaklumkan keadaan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan lebih berkesan, selain sentiasa mengutamakan keselamatan diri.
Setakat ini, dua PPS telah dibuka di Bintulu sejak pagi tadi susulan beberapa kawasan terutamanya di Sebauh dilaporkan dilanda banjir sehingga memutuskan beberapa jalan darat.
Oleh Carolyne Utih