
MIRI: Beberapa laluan jalan raya dan kawasan perumahan di sekitar Senadin dan Tudan masih dinaiki air susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu, namun keadaan dilaporkan masih terkawal setakat ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah, berkata hasil Rondaan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijalankan pagi tadi mendapati kebanyakan paras air berada pada tahap statik dengan ketinggian sekitar satu kaki di kawasan terjejas.
Menurut beliau, di Jalan Jati, Senadin, sebahagian laluan dalam kawasan perumahan tidak dapat dilalui kenderaan kecil sebelum ini, namun paras air kini menunjukkan tanda-tanda mulai surut walaupun hujan masih berlaku.
“Di Kampung Tudan Desaras, laluan jalan kampung masih boleh dilalui semua jenis kenderaan, namun terdapat beberapa rumah di kawasan rendah yang masih dinaiki air dengan paras kira-kira satu kaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tambah beliau, situasi di Jalan Senadin 2C dan kawasan Senadin Light Industries pula menunjukkan kebanyakan jalan masih dinaiki air, sekali gus menyukarkan pergerakan kenderaan kecil, dengan paras air melebihi satu kaki di kawasan industri berkenaan.
Dalam pada itu, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi bagi menempatkan penduduk terjejas. PPS Masjid Darul Iman, Tudan 2 kini menempatkan seramai 69 mangsa daripada 18 keluarga, manakala PPS Dewan Komuniti Tudan Fasa 5 menempatkan 84 mangsa daripada 20 keluarga.
Henry berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus menjalankan rondaan dari semasa ke semasa bagi memantau situasi serta memastikan keselamatan penduduk terjamin.
“Walaupun kebanyakan kawasan masih dinaiki air dan cuaca kekal hujan serta mendung di beberapa lokasi, keadaan keseluruhan masih terkawal buat masa ini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.
Oleh Liong Chai Ling