

MIRI: Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong membantu mengalih kelengkapan rumah penduduk ke tempat lebih selamat susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di sini akibat hujan lebat berterusan, hari ini.
Ketua BBP Lutong, Henry Jugah berkata, tindakan tersebut dilakukan semasa rondaan MTL bermula 10.30 pagi hingga 1.00 tengah hari di kawasan Tudan, Senadin dan Kampung Batu 1 yang dikenal pasti mudah dinaiki air.
Menurut beliau, hujan lebat yang turun melebihi dua jam menyebabkan paras air naik secara mendadak berpunca daripada limpahan longkang utama dan anak sungai berhampiran, sekali gus menjejaskan aliran trafik di beberapa jalan utama.
“Selain mengalih kelengkapan rumah ke tempat lebih tinggi dan selamat, pasukan bomba turut memindahkan seorang penduduk yang kurang sihat ke rumah saudara selepas kediamannya dimasuki air,” katanya di sini.
Henry berkata, bomba juga membantu kenderaan yang tersangkut di kawasan banjir selain menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.
Beliau berkata, kejadian banjir kilat turut dipengaruhi oleh sistem perparitan yang lemah serta pertembungan jadual air pasang laut, menyebabkan air naik dengan cepat terutama di kawasan rendah.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mengelakkan laluan yang dinaiki air dan segera menghubungi bomba sekiranya memerlukan bantuan,” katanya.
Dalam operasi itu, pasukan Bravo BBP Lutong menggunakan sebuah jentera FRT Scania dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton bagi melancarkan operasi bantuan.
Oleh Liong Chai ling