Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Fabio Quartararo terpaksa berputih mata apabila hilang kedudukan podium selepas dikenakan denda kerana didapati berlumba di luar trek sebanyak dua kali di Grand Prix (GP) Emilia Romagna di Litar Dunia Misano, Itali semalam.
Pelumba berusia 21 tahun itu menamatkan 27 pusingan perlumbaan pada kedudukan ketiga, bagaimanapun dikenakan penalti pada pusingan 21, sebelum dikenakan pula penalti tiga saat pada pusingan terakhir perlumbaan, sekali gus menyebabkan kedudukannya jatuh ke tempat keempat.
Pelumba Sepanyol dari pasukan Red Bull KTM Factory Racing Pol Espargaro yang berada pada kedudukan keempat, beralih ke tempat ketiga selepas menamatkan perlumbaan dengan 42 minit 0.374 saat berbanding catatan masa Quartararo 42:02.265s.
Maverick Vinales dari pasukan Monster Energy Yamaha muncul juara selepas merekodkan masa 41:55.846s, diikuti Joan Mir dari Team Suzuki Ecstar di tempat kedua dengan 41:58.271s.
Seorang lagi pelumba Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli pula terpaksa berpuas hati di tempat kesembilan dengan merekodkan masa 42:11.726s.
Kejayaan semalam menyaksikan Vinales dan Quartararo berkongsi kedudukan selepas masing-masing mengumpul 83 mata, manakala pelumba Itali Andrea Dovizioso dari Ducati MotoGP Team yang menamatkan perlumbaan di tangga kelapan, mengumpul 84 mata selepas tujuh perlumbaan sekali gus melonjak ke tangga utama kejuaraan dunia.
Dalam kelas Moto2, pelumba Petronas Sprinta Racing Jake Dixon menamatkan perlumbaan pada kedudukan keenam, manakala rakan sepasukan Xavi Vierge gagal menamatkan perlumbaan kerana terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan berbaki lima pusingan.
Terdahulu, perlumbaan Moto2 terpaksa ditangguhkan susulan hujan lebat sebelum dikurangkan kepada 10 pusingan selepas perlumbaan kembali berlangsung.
Dalam kelas Moto3 pula, pelumba negara Khairul Idham Pawi dan rakannya John McPhee mempamerkan prestasi sederhana apabila masing-masing menamatkan perlumbaan masing-masing di tempat ke-24 dan 10.
Perlumbaan Grand Prix Catalunya akan berlangsung di Litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol pada 24 hingga 27 September ini.-Bernama