Son Heung Min memusnahkan impian Southampton hasil ledakan empat gol untuk membantu Tottenham meraih kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan jaringan besar 5-2 di St Mary.
Selepas 24 jam Spurs menandatangani Gareth Bale, penyerang Korea Selatan itu mempamerkan persembahan mantap bagi membuktikan bahawa pasukan bimbingan Jose Mourinho sudah mempunyai banyak kekuatan.
Danny Ings meletakkan Southampton di depan pada separuh masa pertama namun Heung Min berjaya menyamakan kedudukan sebelum rehat dan meledak tiga lagi gol di separuh masa kedua.
Harry Kane, yang menyaksikan dua percubaannya pada separuh masa pertama mengenai tepi jaring, berjaya menjaringkan gol kedua musim ini.
Selepas tewas kepada Everton pada aksi pembukaan EPL hujung minggu lalu, Tottenham dilanda dengan khabar angin bahawa Dele Alli akan meninggalkan pasukan tatkala dia tidak diturunkan.
Leicester City menandatangani pemain sayap Turki, Cengiz Under secara pinjaman jangka panjang dari AS Roma.
Leicester dilaporkan mempunyai pilihan untuk mendapatkan Under secara tetap apabila tempoh pinjaman berakhir.
Pemain berusia 23 tahun itu akan menyertai rakan sepasukan baru dan pengurus, Brendan Rodgers menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Burnley pagi nanti.
“Saya tidak sabar untuk ke Leicester dan memulakan latihan. Saya sentiasa mahu beraksi di England dan ini adalah peluang terbaik bermain di EPL,” kata Under.
Under melakukan penampilan sulung dengan Turki ketika usia 19 tahun dan sekarang akan beraksi bersama rakan senegara, Caglar Soyuncu.
“Saya akan cuba membantu rakan sepasukan di dalam dan luar padang. Saya percaya mampu memperbaiki prestasi setiap hari,” kata Under.-AFP