
SIBU: Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan perkarangan rumah di Kampung Seduan Jaya di sini dinaiki air setinggi 0.45 meter setakat 8.45 pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sibu, Mej (PA) Mohd Reduan Aini berkata, APM dengan kekuatan seorang pegawai dan tiga anggota telah menjalankan pemantauan di kawasan berisiko banjir di Daerah Sibu.
Menurutnya, tinjauan yang dijalankan pada pagi ini mendapati air telah memasuki beberapa rumah di Kampung Seduan Jaya dengan paras air dalam rumah setinggi 0.19 meter, manakala paras air di kawasan perkarangan rumah mencecah 0.45 meter.
“Keadaan di semua kawasan yang ditinjau setakat ini masih berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

Beliau berkata, hujan berterusan menyebabkan kawasan rumah dan bahagian dalam rumah penduduk terjejas akibat kenaikan paras air.
“Seramai enam mangsa telah memohon untuk dipindahkan ke tempat yang lebih selamat dan tindakan lanjut sedang diambil oleh pihak APM,” katanya.
Beliau menambah, semasa pemantauan dijalankan, keadaan cuaca adalah hujan dengan status air pasang.
“Pemantauan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas,” katanya.
Oleh Akun Giman