PADAWAN: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong bakal menjadi pengeluar utama terbesar kopi di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil menyasarkan kawasan Mambong sebagai pengeluar produk utama berasaskan kopi terbesar di Sarawak dengan projek tanaman kopi bermutu tinggi seperti Liberica, Arabica dan Robustar.
Beliau berkata, kawasan Mambong masih mempunyai tanah pertanian yang belum dibangunkan malah tanah terbiar ditumbuhi dengan semak samun.
“Tanaman kopi secara berkelompok harus dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber kopi dari luar negara.
Kawasan Mambong juga didapati sesuai untuk tanaman kopi.
“Selama ini Sarawak telah mengimport lebih 10 ribu tan kopi sebulan dari Kalimantan, Indonesia setiap tahun,” katanya di Majlis Perasmian Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) di sini, semalam.
Jerip berkata, bengkel yang dibuat menerusi program AgriCOP itu memberi penekanan kepada produk yang berasaskan kopi yang mana dilihat mempunyai nilai komersial dan permintaan yang tinggi di pasaran tempatan.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan dana sebanyak RM20, 000 masing-masing kepada Ladies Guild St. Augustine dari Kampung Danu dan Biro Wanita dari Kampung Emperoh Gerung.
Seterusnya RM10,000 masing-masing kepada PBBP dan Persatuan Belia kampung Sitang serta RM4,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bra’ang Payang.
Oleh Jeakqleyn Yacho