ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyeru semua lapisan masyarakat di negeri ini untuk terus patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandang jumlah korban yang agak tinggi di Sarawak.
Menurutnya, beliau berharap rakyat negeri ini terus patuh kepada PKP sementara usaha sedaya-upaya sedang dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.
“Keadaan semasa tidak membenarkan kita melakukan ibadah puasa atau menyambut perayaan Gawai seperti kebiasaan.
“Saya amat berharap kita semua tabah menghadapi segala kekangan semasa berkuatkuasanya PKP meskipun semasa bulan Ramadan dan musim perayaan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.
Abang Johari berkata, antara langkah-langkah yang harus terus dipatuhi ialah memastikan tiada perhimpunan diadakan selagi keadaan tidak mengizinkan dan mengamalkan disiplin diri dari segi kesihatan agar jangkitan dapat dikekang.
“Bagi mereka yang ada mempunyai kontak dengan yang telah disaring positif berhubunglah dengan pihak kesihatan terdekat untuk menjalani saringan,” tegasnya.
Abang Johari dalam masa yang sama turut mengambil kesempatan bagi pihak Kerajaan Sarawak mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan kepada seluruh kaum Muslimin di negeri ini.
“Saya turut ingin mengucapkan selamat menyambut Gawai Dayak kepada kaum Dayak memandangkan perayaan Gawai akan tiba tidak lama lagi.,” tambahnya.