


LAWAS: Tiga lelaki tempatan ditangkap di Jalan Ba’kelalan kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan memberitahu lelaki pertama berusia 24 tahun ditahan pada 3.30 petang Sabtu lalu bertempat di tepi sungai jalan ke Ba’kelalan.
Pemeriksaan dibuat terhadap suspek dan telah menemui satu keratan tiub straw berisi hablur kristal jernih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat kasar 0.30 gram.
“Suspek, yang juga seorang penganggur, didapati positif dadah jenis amphetamine (Amp) dan methamphetamine (Meth) menerusi ujian air kencing yang dijalankan terhadapnya.

“Semakan kesalahan lampau mendapati saspek mempunyai satu kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut seksyen 12(2) ADB 1952 dan seksyen 15(1)(a) ADB 1952.” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pada hari yang sama, iaitu kira-kira sepuluh minit selepas tangkapan pertama pada jam 3.40 petang, sepasukan polis telah menahan dua lelaki tempatan berusia 41 dan 43 tahun yang bekerja sebagai buruh di tepi sungai, di jalan menuju ke Ba’kelalan, Lawas.
Keduanya kelihatan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.Pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua suspek tidak menemui sebarang barang salah atau dadah.
Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amp/Meth. Semakan kesalahan lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai satu kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Oleh Adeng Edrus