

SARATOK: Kemudahan sukan dan rekreasi di Saratok bakal menerima nafas baharu apabila Padang Petanque Saratok serta Taman Permainan Awam Saratok dikenal pasti untuk dinaik taraf bagi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, usaha menaik taraf kemudahan berkenaan penting bagi menyokong pembangunan aktiviti sukan, riadah serta memperkukuh perpaduan masyarakat di kawasan tersebut.
Menurut beliau, tumpuan turut diberikan kepada penambahbaikan Padang Petanque Saratok sejajar dengan potensi sukan itu yang semakin mendapat sambutan di peringkat tempatan dan serantau, sekali gus mampu mengharumkan nama Saratok.
Dalam pada itu, beliau semalam berkesempatan melawat tapak cadangan tambahan sebanyak empat padang petanque di sekitar kawasan Arena Petanque Saratok sebagai persediaan untuk penganjuran Pertandingan Petanque Jemputan yang lebih besar dan berprestij pada masa hadapan.
Beliau berkata, penambahan kemudahan tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan kapasiti penganjuran kejohanan, malah memberi peluang kepada atlet tempatan untuk beraksi di pentas yang lebih kompetitif.
Pada lawatan sama, Mohamad Duri bersama Pengerusi Kelab Boule Saratok serta tetamu jemputan turut meninjau keadaan Taman Permainan Awam Saratok yang didapati telah mengalami kerosakan dan memerlukan kerja naik taraf segera.
Jelasnya, taman permainan awam merupakan kemudahan penting kepada kanak-kanak dan keluarga, justeru aspek keselamatan, kebersihan serta keselesaan perlu diberi keutamaan agar ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan akan membantu pihak Majlis Daerah Saratok bagi melaksanakan projek naik taraf taman awam berkenaan, selaras dengan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan awam yang berkualiti demi kesejahteraan rakyat.
Oleh Adi Safarman