

SIBU: Tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlidungan insuran antara kesalahan dikesan dalam Ops Gempur Kenderaan Perdagangan, baru-baru ini.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak menerusi kenyataan di Facebooknya memberitahu, operasi tersebut melibatkan Unit Operasi dan Unit Falcon JPJ Sibu melalui penguatkuasaan secara rondaan dan pemantauan di sekitar bandar Sibu, selain penguatkuasaan secara statik di Jalan Dr Wong Soon Kai.
“Sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan, sebanyak 341 kenderaan perdagangan dan persendirian telah diperiksa,” jelas kenyataan itu.
JPJ Cawangan Sibu menegaskan, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa.
“Ini bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak sentiasa terpelihara,” katanya.
Oleh Akun Giman