
LUBOK ANTU: Sebanyak 13 saman lalu lintas telah dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah Sempena Ambang Tahun Baharu 2026 yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, kelmarin.
Menurut kenyataan IPD Lubok Antu, operasi berkenaan dijalankan bermula 10.00 malam hingga 3.00 pagi di beberapa lokasi strategik sekitar kawasan Lubok Antu dan Engkilili.
Operasi itu diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Inspektor Harper Kenol, dengan penglibatan seramai 22 anggota polis dari pelbagai bahagian.
Fokus utama operasi adalah bagi mencegah kegiatan jenayah, membanteras penyalahgunaan dadah, melakukan pemeriksaan ke atas individu serta kenderaan yang mencurigakan, selain penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.
Sepanjang tempoh operasi dijalankan, pihak polis telah memeriksa seramai 90 individu dan 80 kenderaan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang atau aktiviti mencurigakan berlaku


Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 13 saman lalu lintas telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dikesan sepanjang operasi bersepadu itu.
Menurut IPD Lubok Antu, pelaksanaan operasi seumpama ini penting bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang serta kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan awam, khususnya menjelang sambutan musim perayaan dan cuti panjang.
IPD Lubok Antu menegaskan bahawa operasi bersepadu akan terus dilaksanakan secara berterusan dan berkala bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan serta ketenteraman awam di Daerah Lubok Antu sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman