Liverpool kendalian Arne Slot diikat 0-0 oleh Leeds. - AFP
LIVERPOOL: Liverpool gagal memanfaatkan peluang untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris apabila terikat 0-0 dengan Leeds yang menurunkan barisan pemain banyak berubah di Anfield.
Anak buah Arne Slot kini mencatat sembilan perlawanan tanpa kalah, namun mereka dihukum akibat satu lagi persembahan hambar apabila Leeds bertahan dengan baik untuk kekal tujuh mata di atas zon penyingkiran.
Pelawat hampir mencuri kemenangan apabila Dominic Calvert-Lewin meledak jaringan lewat permainan, namun gol tersebut dibatalkan kerana ofsaid.
Satu mata itu meletakkan Liverpool tiga mata di hadapan Chelsea dan Manchester United dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
Pengendali Leeds, Daniel Farke, jelas memikirkan pertemuan menentang musuh tradisi Manchester United pada Sabtu apabila merehatkan penyerang prolifik Calvert-Lewin, selain membuat empat perubahan dalam kesebelasan utama.
Liverpool pula turun tanpa Mohamed Salah yang menyertai Piala Negara-Negara Afrika serta Alexander Isak yang mengalami kecederaan.
Ketiadaan dua penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu itu jelas dirasai apabila The Reds gagal mencipta ancaman berkesan untuk memecah kebuntuan.
Peluang terbaik Liverpool hadir pada pertengahan babak pertama apabila Hugo Ekitike mensia-siakan peluang keemasan, tersasar dalam percubaan tandukan hasil hantaran lintang deras Jeremie Frimpong ketika gawang terbuka luas.
Rekod enam perlawanan tanpa kalah Leeds yang membawa mereka keluar dari zon penyingkiran turut merangkumi dua pertemuan dengan juara Liga Perdana itu.
Berbeza dengan aksi mendebarkan 3-3 antara kedua-dua pasukan kira-kira tiga minggu lalu, kali ini organisasi pertahanan pasukan kendalian Daniel Farke berjaya mengecewakan tuan rumah.
Leeds hampir meraih tiga mata penuh apabila Calvert-Lewin hampir meneruskan rentak jaringannya.
Bekas penyerang Everton itu telah menjaringkan gol dalam enam perlawanan berturut-turut sebelum ini, dan sempat menewaskan Alisson Becker 10 minit sebelum tamat perlawanan, namun jaringannya dibatalkan kerana berada sedikit di kedudukan ofsaid. – AFP