
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Dato’ Dr. Madeline Berma, tokoh ekonomi dan ahli akademik tersohor kelahiran Sarawak pagi tadi.
Mendiang Dato’ Dr. Madeline Berma telah meninggal dunia pada usia 67 tahun di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor, pada 30 Disember lalu.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ke kediaman mendiang di Kampung Siol Kandis disambut dengan penuh rasa hiba oleh ahli keluarga terdekat.
Pada kunjungan tersebut, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut meluangkan masa beramah mesra bersama waris bagi menyampaikan ucapan takziah secara peribadi. Menurut Tun Wan Junaidi, ayah mendiang juga seorang kenalan beliau ketika bersama-sama berkhidmat sebagai dalam Jabatan Polis dahulu.

Tun Wan Junaidi menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Sarawak, malah kepada negara. Sumbangan mendiang dalam bidang ekonomi pembangunan dan advokasi komuniti terpinggir telah banyak membantu dalam pembentukan dasar-dasar penting dan kini Sarawak telah kehilangan sebutir permata yang amat berdedikasi.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga mendiang diberikan ketabahan, kekuatan serta ketenangan dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini.