
SARIKEI: Paras air di kawasan rendah Jalan Gaharu didapati berada dalam keadaan terkawal hasil rondaan pemantauan monsun timur laut (MTL) yang dijalankan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei pada pagi tadi.
Ketua BBP Sarikei, Arrahman Chik, berkata pemantauan dijalankan bermula 8.56 pagi.
“Dua orang anggota bomba terlibat dalam rondaan tersebut yang memfokuskan kawasan rendah berisiko banjir.
“Rondaan pemantauan dijalankan bagi menilai paras air serta situasi cuaca di kawasan berisiko banjir, sebagai langkah kesiapsiagaan sempena MTL,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, setakat ini, trend air di Jalan Gaharu menunjukkan paras surut dan keadaan kawasan berada dalam situasi terkawal.
“Sepanjang rondaan dijalankan, pihak kami tidak menerima sebarang panggilan kecemasan.
“Rondaan berkala akan diteruskan bagi memastikan paras air sentiasa dipantau sepanjang musim MTL,” katanya.
Oleh Earl Anek