
BINTULU: Lima individu mengalami kecederaan dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan jenis Proton Saga di Jalan Bintulu–Miri di sini, hari ini.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.55 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian pada 2.28 petang, didapati kemalangan kendiri berkenaan melibatkan enam mangsa.
“Daripada jumlah itu, lima mangsa mengalami kecederaan dan seorang lagi iaitu pemandu dilaporkan dalam keadaan selamat,” katanya.

Pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) JBPM telah memberikan rawatan awal di lokasi kejadian termasuk pemasangan kolar servikal serta imobilisasi pada bahagian kaki mangsa yang disyaki mengalami kecederaan.
“Kesemua mangsa yang cedera kemudian dibawa menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Operasi dilaporkan terkawal pada 2.46 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada 3.32 petang selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.
Oleh Carolyne Utih