
SARATOK: Satu majlis ringkas penyerahan projek siap bagi projek naik taraf prasarana Surau Kampung Pagan telah diadakan semalam, menandakan kejayaan pelaksanaan projek pembangunan berimpak tinggi kepada komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek tersebut memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan asas dan keagamaan di luar bandar terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat.
Penyerahan projek itu telah disempurnakan oleh wakil Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, Muhamad Sahril Sulaiman kepada Ketua Kaum Kampung Pagan, Sajali Ali Hassan yang juga wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Upacara penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Ahli Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Majid Amit Zainuddin yang hadir mewakili ADUN Kalaka, sekali gus melambangkan kerjasama erat antara agensi pelaksana dan kepimpinan setempat.
Mohamad Duri memaklumkan, projek bernilai RM100,000 itu dibiayai menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP), dengan skop kerja meliputi pembinaan sengkuap, pemasangan jerejak tingkap, pembinaan tempat wuduk, kawasan letak kereta serta jalan akses ke surau.

“Secara peribadi saya sangat bangga dengan prestasi kemajuan fizikal projek ini. Walaupun tempoh kontrak bermula Oktober tahun ini dan dijadual tamat pada Februari tahun hadapan, projek ini telah berjaya disiapkan lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Kampung Pagan, Sajali Ali Hassan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas inisiatif serta usaha berterusan dalam memperkasa kebajikan dan kemudahan rakyat luar bandar.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Surau Kampung Pagan, Radzaal Uji yakin siapnya projek naik taraf berkenaan akan memberikan kemudahan, keselamatan dan keselesaan yang lebih baik kepada penduduk Kampung Pagan untuk beribadah dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah wakil Syarikat Humairah Enterprise selaku kontraktor projek, Fauzi Junaidi.
Oleh Adi Safarman