
LIVERPOOL, United Kingdom: Penyerang Liverpool, Alexander Isak, dijangka berehat selama dua bulan selepas mengalami patah tulang kaki akibat terjahan ‘cuai’ oleh pemain Tottenham Hotspur, Micky van de Ven, kata pengurus Arne Slot, hari ini.
Isak cedera ketika menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan 2-1 ke atas Spurs pada Sabtu lalu.
Dalam kenyataan semalam, Liverpool memaklumkan bahawa pemain Sweden itu telah menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan buku lali yang turut melibatkan patah tulang fibula.
“Ini kecederaan yang panjang, mungkin beberapa bulan. Ia satu kekecewaan besar buat dirinya dan sudah tentu juga buat kami,” katanya.

Jurulatih dari Belanda itu, yang kini mengetuai pasukan di tangga kelima Liga Perdana, menyifatkan terjahan Van de Ven sebagai ‘cuai’.
“Jika terjahan seperti itu dilakukan 10 kali, saya fikir 10 kali juga ada kemungkinan besar pemain akan mengalami kecederaan serius,” katanya.
Isak, 26, menyertai Liverpool dari Newcastle dengan rekod perpindahan Britain bernilai £125 juta pada hari terakhir jendela perpindahan September lalu. Namun beliau tiba di Anfield tanpa kecergasan penuh dan kemudiannya turut mengalami kecederaan pangkal paha.
Slot mengakui ia merupakan tempoh sukar buat penyerang baharunya yang hanya menjaringkan tiga gol dalam 16 penampilan, tetapi percaya Isak masih mampu memberi sumbangan penting pada penghujung musim.
“Kami tahu ia akan mengambil masa, dan sebab itu dia begitu malang apabila kini cedera kerana kami semua melihat dengan golnya menentang West Ham dan gol terbaru ini, dia semakin hampir dengan prestasi seperti musim lalu di Newcastle,” jelasnya.
Ketiadaan Isak menjadi tamparan hebat buat Liverpool, lebih-lebih lagi ketika Mohamed Salah menyertai Piala Negara-Negara Afrika dan Cody Gakpo masih diragui untuk perlawanan menentang Wolves hujung minggu ini.
Ketika ini, hanya Hugo Ekitike yang cemerlang dengan lima gol dalam empat perlawanan terakhir serta Federico Chiesa yang jarang diturunkan menjadi pilihan di barisan serangan.
Kecederaan Isak juga membuka kemungkinan Liverpool menambah pilihan serangan pada jendela perpindahan Januari, namun Slot enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin perpindahan pemain sayap Bournemouth, Antoine Semenyo.
Liverpool kini dalam prestasi lebih baik selepas melalui lima perlawanan tanpa kalah, meskipun pertahanan kejuaraan Liga Perdana mereka sebelum ini tergugat dengan enam kekalahan dalam tujuh perlawanan. -AFP