KUCHING: Negeri lain di seluruh Malaysia disarankan untuk mencontohi usaha kerajaan Sarawak dalam mewujudkan koperasi usahawan mikro bagi membantu meningkatkan pendapatan kumpulan sasar.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata setakat ini, hanya negeri Sarawak mempunyai usaha sedemikian untuk mengeluarkan kumpulan sasar yang menerima bantuan bulanan kerajaan daripada tekanan hidup.
“Jadi saya berharap apa yang dibuat di Sarawak ini akan menjadi contoh inspirasi kepada negeri negeri lain.
“Saya akan mengambil perhatian dan kita akan panjangkan kepada pihak kementerian untuk meneliti dan kita sarankan negeri lain juga melaksanakan projek yang baik seperti ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Projek Pendayaupayaan Ekonomi Klien iaitu Program Pembangunan Usahawan Mikro Kebajikan (UMK) di Koperasi Usahawan Mikro Kebajikan, Wisma KOUSMIK, MetroCity Square, Jalan Matang, baru-baru ini.
Beliau berkata dengan adanya koperasi seperti ini, ia membolehkan golongan yang berbakat dengan pelbagai kemahiran seperti memasak, menjahit, mengayam untuk memasarkan produk mereka.
“Oleh itu, saya mengharapkan ini akan menjadi contoh kepada tempat-tempat lain dan negeri lain juga.
“Kita mengharapkan kumpulan sasar mengambil peluang ini untuk membina kemahiran, bakat disamping mengukuhkan ekonomi keluarga masing-masing serta dapat menyelesaikan masalah mereka yang tertekan terutama keluarga-keluarga yang sentiasa mengharapkan bantuan ini dapat keluar daripada tekanan hidup dan masalah ekonomi,” tegasnya.
Terdahulu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, sejak penubuhan pada 2016 sehingga kini, seramai 3675 usahawan mikro telah terlibat dalam koperasi tersebut.
“Ini kerana setiap tahun sekurang-kurangnya sasaran bantuan kita adalah seramai 750 orang setiap tahun dengan jumlah peruntukkan lebih kurang RM5,000 setiap seorang bagi membeli peralatan,” katanya.
Beliau menjelaskan uahawan mikro negeri ini adalah terdiri daripada penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Dengan itu kita berharap bahawa dengan bantuan tersebut kita akan dapat meningkatkan lagi pendapatan mereka.
“Ini adalah perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk membolehkan pada akhirnya, matlamat kita ialah supaya pendapatan mereka ini akan bertambah dan mereka boleh melepasi garis kemiskinan dan dengan itu tidak lagi memerlukan bantuan bulanan daripada kerajaan dan kemudiannya memberi laluan kepada yang lain pula yang memerlukan bantuan itu,” kata Fatimah.