
JULAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin menegaskan bahawa perayaan berasaskan agama merupakan platform terbaik untuk menyatupadukan rakyat.
Katanya, ia juga adalah platform sesuai memelihara keharmonian masyarakat berbilang kepercayaan di kawasan luar bandar.
“Perayaan berasaskan agama mampu menjadi platform terbaik untuk menyatupadukan rakyat.
“Keharmonian antara penganut agama perlu terus dipelihara di samping saling menghormati kepercayaan agama lain di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis makan malam komuniti Ulu Entaih sempena PraKrismas 2025 yang berlangsung di Dewan Terbuka Dato Rolland Duat Jubin di Ulu Entaih, baru-baru ini.
Lebih 1,000 penduduk dari kawasan Ulu Entaih dan Ulu Entabai telah menghadiri majlis tersebut.
Tambahnya, kehadiran penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan latar agama jelas membuktikan nilai persefahaman serta perpaduan dapat dipupuk melalui ajaran agama yang baik dan interaksi sosial yang positif.
“Saya berharap agar suasana harmoni dan semangat muhibah yang ditonjolkan menerusi majlis ini dapat dikekalkan secara berterusan.
“Semua pihak termasuk gereja, komuniti, ketua-ketua kaum dan rakyat perlu terus memainkan peranan masing-masing dan berganding bahu dalam memastikan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Politik Premier Sarawak, Brian Fung.
Oleh Earl Anek