MARUDI, 18 Oktober: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran kebun sawit di Rumah Melikat, di sini, masih diteruskan hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri berkata, mangsa yang berusia 77, dilaporkan hilang selepas dipercayai memasuki laluan kecil menuju ke kebun sawit pada 15 Oktober lalu.
Menurutnya, mangsa kali terakhir dilihat oleh cucunya pada 7.00 pagi sebelum disedari hilang sekitar 11.00 pagi pada hari yang sama.
“Pihak kami menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada 16 Oktober, 8.25 pagi.
“Susulan laporan itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Marudi bergegas ke lokasi pada 6.20 petang bagi membantu operasi mencari mangsa,” katanya.
Mirwan berkata, operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta penduduk kampung.
Katanya, operasi pencarian diteruskan hari ini dengan tumpuan di kawasan kebun sawit sejauh kira-kira tiga kilometer, namun mangsa masih belum ditemui.
Usaha mencari mangsa akan diteruskan sehingga perkembangan terbaharu diperoleh.
Oleh Jiku Juguong





