
BINTULU: Pihak Hospital Bintulu menggesa orang ramai yang sihat dan layak agar tampil menderma darah bagi memastikan bekalan darah mencukupi untuk keperluan rawatan pesakit, khususnya sepanjang musim perayaan.
Menurut kenyataan hospital itu, jumlah penderma lazimnya menurun ketika musim perayaan, namun keperluan darah untuk pesakit yang menjalani rawatan dan kecemasan kekal berterusan setiap hari.
“Walaupun ramai sibuk dengan sambutan perayaan, pesakit di hospital masih memerlukan bantuan.
“Setiap titisan darah amat bermakna dan boleh menyelamatkan nyawa,” ujar kenyataan itu.
Orang awam, khususnya kakitangan hospital, digalakkan menjadi penderma darah dan menyokong usaha memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.
Pendermaan darah boleh dilakukan di Tabung Darah Hospital pada Isnin hingga Rabu dari 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 2.00 petang hingga 5.00 petang.
Sementara itu, pada Jumaat dari 8.00 pagi hingga 11.30 pagi serta 2.15 petang hingga 5.00 petang.
Tabung darah ditutup pada Khamis (25 Disember) bersempena cuti umum.
Pihak Hospital Bintulu turut menggalakkan orang ramai mengajak rakan atau ahli keluarga yang layak untuk bersama-sama menderma darah sebagai tanda keprihatinan terhadap pesakit yang memerlukan.