LUBOK ANTU: seramai 16 perserta menyertai ekpedisi ke kawasan air terjun yang dikenali sebagai Wong Merah di sini bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ke-57.
Presiden Kelab Berbasikal Lubok Antu, Abu Bakar berkata kayuhan sejauh 10 kilometer ke kawasan air terjun itu mengambil masa kira-kira sejam untuk samapai di lokasi berkenaan,“Kesemua peserta terlebih dahulu telah berkumpul di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Antu seawal jam 7.00 pagi untuk sesi bacaan doa yang dipimpin oleh Guru Agama SMK Lubok Antu, Ustaz Syaifullah Ismail.
“Sepanjang perjalanan berbasikal berkenaan peserta juga berkesempatan untuk meninjau keindahan alam semula jadi dengan ekspedisi ini merupakan aktiviti yang pertama dianjur oleh kelab tersebut ke lokasi tersebut,” katanya.
Katanya, selain menikmati keindahan air terjun Wong Merah, peserta turut mengabdikan kenangan mereka di situ dengan sesi bergambar bersama bendera Jalur Gemilang dan Sarawak.
“Tujuan utama ekspedisi ini diadakan adalah untuk menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan Kelab Berbasikal Lubok Antu bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ke-57 pada Rabu lepas.
“Dengan adanya aktiviti ini maka pihak kita secara tidak langsung akan dapat mengerat lagi hubungan tali silaturahim dan seterusnya menanam sikap cintakan alam sekitar dalam diri ahli kelab kami,” kata Abu Bakar.
Kelab Berbasikal Lubok Antu kata beliau menyeru penduduk setempat untuk bersama-sama memelihara keindahan kawasan air terjun Wong Merah agar ia dapat dinikmati oleh pengunjung lain pada masa akan datang.
“Bagi yang ingin ke sana, pastikan kawasan air terjun Wong Merah ini sentiasa bersih setiap masa supaya khazanah alam semulajadi berkenaan sentiasa terjaga untuk tatapan pengunjung lain kelak,” kata beliau.
Terdahulu kawasan air terjun Wong Merah di sini pada kebiasaannya dikunjungi oleh penduduk dengan menggunakan motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.
Kawasan air terjun Wong Merah berkenaan memiliki ketinggian setanding bangunan tujuh tingkat dengan masa antara dua hingga tiga jam diperlu oleh seseorang individu jika mahu berjalan kaki ke sana.
Oleh Valentine Ngumbang