
SEBUYAU: Bohari Ali dari Kampung Ladong, Sebuyau muncul juara Pertandingan Memancing Joran Bidek Edisi Istimewa 2025 selepas menewaskan hampir 330 pemancing lain dalam pertandingan yang berlangsung di sini, hari ini.
Beliau, yang telah lebih dua dekad aktif menyertai pelbagai pertandingan memancing, mencuri tumpuan apabila berjaya menaikkan ikan terusan atau nama saintifiknya Gelama Tirusan seberat 1.015 kilogram menggunakan umpan ‘umpun-umpun’.
Kemenangan tersebut melayakkan Bohari membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Tempat kedua dimenangi oleh peserta dari Kampung Selangking, Simunjan, Mohd Busrah Sumusi, yang menaikkan ikan terusan seberat 0.845 kilogram dan menerima hadiah wang tunai RM3,000.
Sementara itu, peserta dari Kampung Baru, Sebuyau, Wan Samsudin Wan Dolah, meraih tempat ketiga dengan tangkapan ikan sembilang seberat 0.365 kilogram dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Kesemua hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Ketua Kaum Kampung Jalan GiatMARA Sebuyau, Wan Katar Wan Bakar.
Pertandingan Joran Bidek Edisi Istimewa 2025 yang memasuki edisi keenam menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan pemancing dari seluruh Sarawak serta Semenanjung Malaysia termasuk Johor Bahru, Pahang dan Kuala Lumpur.


Program tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan GiatMARA Sebuyau dengan kerjasama Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Jalan GiatMARA Sebuyau, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan GiatMARA Sebuyau dan GiatMARA Batang Lupar.