
PARIS: Pameran pertama di Eropah yang didedikasikan kepada kehidupan dan karya juruanimasi Jepun terkenal Isao Takahata, pengasas bersama syarikat penerbitan animasi Studio Ghibli, mencatat kejayaan luar biasa di Paris, lapor Agensi Berita Kyodo.
Menurut penganjur, pameran retrospektif mengenai pengarah filem animasi pemenang anugerah Grave of the Fireflies yang diadakan di Institut Kebudayaan Jepun di Paris itu sentiasa dipenuhi pengunjung.
“Saya menjangkakan pameran ini akan berjaya, tetapi tidak pernah menyangka sambutannya sehebat ini,” katanya.
Walaupun pengarah animasi legenda Jepun dan pemenang Anugerah Oscar, Hayao Miyazaki cukup popular di Perancis, rakan seperjuangannya Takahata kurang dikenali, meskipun filem-filem arahannya mendapat pengiktirafan luas.
Pameran yang berlangsung dari 15 Oktober 2025 hingga 7 Februari 2026 itu menyoroti kerjaya Takahata selama 50 tahun dan mempamerkan bahan seperti nota produksi, lakaran awal serta karya seni asli. Takahata meninggal dunia pada 2018 pada usia 82 tahun.
Grave of the Fireflies, filem terbitan 1988 yang mengisahkan perjuangan seorang kanak-kanak lelaki dan adiknya pada bulan-bulan terakhir Perang Dunia Kedua, merupakan antara karya beliau yang paling terkenal.
Pada 2014, setahun selepas melancarkan The Tale of the Princess Kaguya, Takahata menerima anugerah kehormat di Festival Filem Animasi Antarabangsa Annecy di Perancis.
Dilahirkan di Wilayah Mie dan dibesarkan di Wilayah Okayama di barat Jepun, Takahata juga dikenali menerusi Pom Poko, filem 1994 mengenai anjing rakun yang berjuang melindungi habitat hutan mereka.
Beliau turut mengarahkan beberapa siri televisyen, termasuk Heidi, Girl of the Alps pada era 1970-an.
Sejak pembukaannya, pameran di Paris itu telah menarik sekitar 20,000 pengunjung.
Penganjur menjangkakan lebih 43,000 orang akan mengunjunginya menjelang penutupan, satu angka yang jika dicapai akan menjadi yang tertinggi sejak pusat kebudayaan itu dibuka pada 1997.- Bernama-Kyodo