KUALA LUMPUR: Saham Top Glove Corporation Bhd rancak diniagakan pada sesi awal dagangan pagi semalam terutama menjelang pengumuman keputusan tahun kewangan 2020 lewat semalam.
Ia dibuka 35 sen lebih kukuh kepada RM8.78 berbanding RM8.43 ketika ditutup pada petang Selasa.
Pada 10.31 pagi semalam, saham syarikat mencatatkan harga RM8.55 dengan lebih 38 juta saham diniagakan, menjadikannya antara kaunter paling cergas di Bursa Malaysia.
Pada pengumuman keputusan kewangan untuk suku ketiga 2020, syarikat pengeluar sarung tangan itu melahirkan keyakinan ia boleh mencapai satu lagi rekod tinggi bagi prestasi kewangan untuk suku keempat berakhir 31 Ogos 2020.
Pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu berkata, momentum menaik akan berterusan melangkaui 2020 kerana permintaan berterusan dunia untuk sarung tangan di celah-celah penularan pandemik Covid-19 yang sedang berlaku sekarang.
Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Lim Wee Chai (gambar) berkata, harga jualan purata (ASP) untuk sarung tangan getah dijangka meningkat 30 peratus pada suku keempat 2020.
Pada suku ketiga 2020, pesanan jualan syarikat melonjak sebanyak 180 peratus dan ASP meningkat 30 peratus, sekali gus menyaksikan keuntungan bersih syarikat melambung ke paras tertinggi sepanjang masa iaitu RM347.90 juta berbanding RM74.67 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Hasil pula melonjak 42 peratus kepada RM1.69 bilion daripada RM1.19 bilion sebelumnya manakala saham meningkat melebihi RM25 berikutan prospeknya yang kukuh.
Sebagai ganjaran kepada pemegang sahamnya, syarikat telah melaksanakan eksesais saham bonus dua untuk satu pada 3 September dengan sahamnya berlegar melepasi harga RM8 seunit.- Bernama