Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Liverpool ‘sudah melangkah ke hadapan’ daripada kekecohan Salah – Slot 
  • SUKAN

Liverpool ‘sudah melangkah ke hadapan’ daripada kekecohan Salah – Slot 

Utusan Sarawak 8 hours ago

Arne Slot berkata Liverpool telah “melangkah ke hadapan” daripada kekecohan yang tercetus susulan luahan Mohamed Salah. Foto AFP

LIVERPOOL: Arne Slot berkata Liverpool telah “melangkah ke hadapan” daripada kekecohan yang tercetus susulan luahan marah Mohamed Salah selepas digugurkan, dan pasukan itu kini menunjukkan tanda-tanda semakin membentuk pasukan seperti yang diinginkannya.

The Reds bakal memulakan tempoh sehingga sebulan tanpa Salah, yang mewakili Mesir di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), apabila bertandang ke Tottenham awal pagi esok.

Liverpool memulakan tempoh sehingga sebulan tanpa Salah, yang mewakili Mesir di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON). Foto AFP

Selepas melalui rentetan sembilan kekalahan dalam 12 perlawanan, Slot berjaya menstabilkan keadaan dengan lima perlawanan tanpa tewas, tempoh di mana Salah tidak memulakan satu pun perlawanan.

“Tindakan lebih bermakna daripada kata-kata. Kami sudah melangkah ke hadapan,” kata Slot kepada wartawan pada Jumaat, merujuk kepada keputusannya menurunkan Salah sebagai pemain gantian dalam kemenangan 2-0 ke atas Brighton minggu lalu.

“Sekarang dia berada di AFCON, beraksi dalam perlawanan besar untuk dirinya dan negara. Tumpuan sepenuhnya adalah di sana dan tidak sepatutnya ada sebarang gangguan daripada saya berkata apa-apa kerana kami sudah melangkah ke hadapan selepas temu bual di Leeds dan dia beraksi menentang Brighton.”

Walaupun melalui musim kedua yang sukar di England, Liverpool kini berada di tempat ketujuh Liga Perdana Inggeris dan berpeluang melonjak ke kelompok empat teratas jika menewaskan Spurs yang sedang bergelut.

Juara England itu merombak skuad mereka pada jendela perpindahan musim panas, membelanjakan hampir £450 juta (AS$602 juta) untuk membawa masuk Alexander Isak, Florian Wirtz, Hugo Ekitike, Jeremie Frimpong dan Milos Kerkez.

Selain Ekitike yang menyerlah, semua rekrut baharu bergelut untuk menampilkan prestasi konsisten dan Slot mengakui beliau terlalu optimistik tentang tempoh yang diperlukan skuad baharu itu untuk mencapai kestabilan.

“Saya rasa kami semakin hampir kepada pasukan seperti yang saya mahukan dan perjalanan itu penuh naik turun,” kata jurulatih dari Belanda itu.

“Namun bagi saya, itu masuk akal sepenuhnya kerana semua perubahan yang dibuat pada musim panas adalah disengajakan kerana kami merasakan ia perlu.

“Jika saya jujur, mungkin saya tidak menyangka ia akan mengambil masa selama ini. Tetapi apabila menoleh ke belakang dan menilai semula, saya rasa saya terlalu positif kerana apabila anda mempunyai kumpulan baharu yang tidak semuanya bersedia untuk bermain setiap perlawanan, 90 minit pada intensiti seperti ini, anda perlu menyesuaikan diri.

“Kadangkala dia boleh bermain, kemudian tidak boleh bermain. Jadi ia memerlukan sedikit masa, dan kami juga agak tidak bernasib baik.”

Joe Gomez dan Cody Gakpo akan terlepas perlawanan ke Tottenham akibat kecederaan, namun Slot berharap Dominik Szoboszlai akan cergas untuk diturunkan. Frimpong pula kembali selepas berehat selama dua bulan. – AFP

Continue Reading

Previous: Ratu boling Sarawak bergaya di Sukan SEA Bangkok
Next: Jelajah Dunia Akhir BWF: Aaron- Wooi Yik, Wei Chong-Tee Kai Wun gagal ke saparuh akhir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.