Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • RM1 bilion untuk sekolah daif, DLP perkasa pendidikan Sarawak
  • PENDIDIKAN


RM1 bilion untuk sekolah daif, DLP perkasa pendidikan Sarawak

Utusan Sarawak 1 day ago
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika Persidangan Bajet Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam. Foto: Facebook Dr Maszlee Malik

KUCHING: Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memuji komitmen serta kepimpinan kerajaan Sarawak di bawah Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam usaha memperkasa sistem pendidikan negeri.

Beliau berkata langkah kerajaan negeri memperuntukkan RM1 bilion bagi membaik pulih sekolah daif serta melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) di semua sekolah Sarawak menunjukkan kesungguhan terhadap pembangunan pendidikan.

Menurutnya, beliau berpeluang bertemu semula dengan Abang Johari, semalam selepas kali terakhir pertemuan mereka ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan sebelum pandemik COVID-19. 

Pertemuan tersebut, katanya, memperlihatkan kemajuan pesat pendidikan Sarawak yang kini dilihat selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Saya amat gembira melihat perkembangan terkini pendidikan di Sarawak. Nampak gayanya Sarawak memecut untuk mencapai objektif PCDS 2030,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Dr Maszlee turut mengimbau dua pencapaian besar hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan Sarawak ketika beliau menerajui kementerian itu. 

Pertama, projek pembaikpulihan sekolah daif di Sarawak yang direalisasikan melalui pendahuluan RM1 bilion oleh kerajaan Sarawak. Kedua, pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di semua sekolah negeri Sarawak bermula 2020.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika Persidangan Bajet Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam. Foto: Facebook Dr Maszlee Malik

“Kedua-dua idea ini merupakan cadangan daripada Premier Sarawak sendiri dan telah kami setujui bersama sebelum dibawa untuk kelulusan kabinet,” jelas beliau.

Tambahnya, mendapatkan kelulusan bagi kedua-dua inisiatif besar itu bukanlah mudah kerana ia memerlukan persetujuan kabinet, termasuk Menteri Kewangan dan Perdana Menteri pada waktu tersebut. Namun, usaha berkenaan akhirnya berjaya direalisasikan.

Dr Maszlee turut menzahirkan penghargaan kepada beberapa tokoh penting yang memainkan peranan besar dalam menjayakan pelaksanaan inisiatif tersebut, antaranya Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Menteri Pendidikan Sarawak ketika itu.

Selain itu, Datuk Dr Annuar Rapaee yang terlibat sejak pertemuan awal bersama Premier Sarawak dan kini memantau pelaksanaan DLP di sekolah rendah serta Datu Dr Azhar Ahmad iaitu bekas Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak yang memastikan kelancaran pelaksanaan kedua-dua dasar berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, keputusan Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UPDLP) bagi kohort pertama baru-baru ini turut menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

“Tahniah kepada kerajaan negeri dan seluruh rakyat Sarawak atas kejayaan ini,” kata Dr Maszlee.

Usaha berterusan Sarawak dalam memperkukuh pendidikan dilihat sebagai model kerjasama berkesan antara kerajaan persekutuan dan negeri demi masa depan generasi muda negara.

Oleh Adi Safarman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Sarawak yang pertama di rantau ini beri pendidikan percuma
Next: Pemuda SUPP Kuching sokong Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.