
BINTULU: Bintulu Port mengagihkan sebanyak 65 bakul makanan kepada warga Gereja Methodist Iban Pasar Bintulu menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bintulu Port Prihatin – Penyerahan Bakul Makanan Krismas 2025 semalam.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Bintulu Port dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat dengan memberi perhatian kepada kebajikan dan kesejahteraan golongan yang memerlukan, khususnya menjelang sambutan Krismas.
Pengurus Besar, Group Stakeholder Relations Bintulu Port Holdings Berhad, Maslihah Tioh berkata, pelaksanaan program berkenaan lebih bermakna kerana diadakan bersempena musim perayaan yang menekankan nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat perkongsian rezeki.
“Program Bintulu Port Prihatin – Bakul Makanan Krismas 2025 merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Bintulu Port Holdings Berhad dalam menyantuni komuniti setempat, khususnya dalam meraikan semangat kasih sayang dan kebersamaan sempena musim Krismas,” katanya ketika berucap pada program penyerahan bakul makanan berkenaan.

Menurut Maslihah, inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada membantu golongan memerlukan agar mereka dapat menyambut perayaan dalam suasana yang lebih ceria dan bermakna.
“Melalui penyerahan bakul makanan ini, kami berharap ia dapat meringankan sedikit beban golongan yang memerlukan serta membawa kegembiraan kepada para penerima dan keluarga masing-masing menjelang musim perayaan,” katanya.
Selain menyediakan bantuan keperluan asas, program tersebut turut menjadi platform bagi Bintulu Port untuk mendekati komuniti setempat serta menyemai nilai kebersamaan dan sokongan sosial.
Oleh Carolyne Utih