
MIRI: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri dijemput oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bong Baram untuk mengadakan ceramah dan membuka kaunter pameran sempena Minggu Program Antidadah sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Menurut kenyataan AADK Miri, program tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada murid-murid mengenai bahaya penggunaan dan penagihan dadah serta bahan terlarang, di samping membudayakan amalan gaya hidup sihat sejak usia muda.
Ceramah antidadah telah disampaikan dari Unit Pencegahan AADK Daerah Miri, Syahrul Abu Bakar.
Seramai 60 murid terlibat dalam program ini, terdiri daripada murid Tahun 1 hingga Tahun 6.
Program turut mendapat sambutan dan sokongan daripada ibu bapa murid SK Sungai Bong Baram yang hadir bagi sama-sama memahami peranan penting dalam pencegahan dadah di peringkat awal, kata kenyataan itu semalam.
Sehubungan itu, AADK Daerah Miri merakamkan penghargaan dan berbesar hati atas kerjasama yang diberikan oleh pihak sekolah dalam menjayakan program ini, selaras dengan usaha berterusan melahirkan generasi bebas dadah.
“AADK Daerah Miri turut mengalu-alukan jemputan daripada mana-mana pihak atau institusi bagi melaksanakan program ceramah dan pameran antidadah sebagai usaha bersepadu dalam pencegahan dadah di peringkat komuniti,” tambahnya.