
SIBU: Hasil tinjauan mendapati kebanyakan laluan masuk rumah di Lorong Sentosa Jalan Salim tidak mempunyai pembentung sekali gus menyebabkan berlakunya takungan air dalam sistem perparitan.
Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Kaunselor Mohammed Abdullah Izkandar Roseley berkata, pihak majlis akan mencadangkan beberapa projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek untuk lorong berkenaan pada 2026.



TURUN PADANG…..Hasil tinjauan mendapati kebanyakan laluan masuk rumah di Lorong Sentosa Jalan Salim tidak mempunyai pembentung sekali gus menyebabkan berlakunya takungan air dalam sistem perparitan.
Menurutnya, turut dikenal pasti sebuah rumah yang menjalankan aktiviti pemprosesan serta masakan makanan dan membuang sisa ke dalam parit, yang menjejaskan aliran perparitan sedia ada, khususnya di Lorong Sentosa Timur 3C.
“Bagi kawasan Lorong Sentosa Utara 8 pula, dua daripada tiga lokasi yang dikenal pasti dan sering mengalami banjir telah berjaya ditangani hasil kerja pengorekan parit yang dilaksanakan oleh kontraktor MPS.
“Namun, satu lokasi masih berdepan masalah disebabkan paras jalan yang lebih rendah berbanding parit. Isu ini akan dicadangkan untuk penambahbaikan seawal bulan Januari, tertakluk kepada kelulusan peruntukan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) 2026,” jelasnya.

Izkandar berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atas kerjasama dalam mengenal pasti permasalahan serta memastikan setiap langkah perancangan atau penyelesaian dimaklumkan kepada penduduk yang terjejas.
Terdahulu, Izkandar telah mengadakan lawatan tapak di kawasan Sentosa selepas menziarahi Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee di kediamannya di Jalan Kangkung atas pemergian bonda beliau.
“Salam takziah diucapkan kepada keluarga Datuk Dr Annuar, semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.
Oleh Akun Giman