Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sukan SEA 2025: ‘Sumandak’ Angie raih emas Wai Kru, atasi juara dunia dari Thailand
  • SUKAN

Sukan SEA 2025: ‘Sumandak’ Angie raih emas Wai Kru, atasi juara dunia dari Thailand

Utusan Sarawak 5 hours ago
Atlet Muay Thai negara Angie Yan Jia Chi ketika membuat persembahan bagi acara wai kru wanita Sukan Sea Thailand 2025 di Lumpinee Boxing Stadium hari ini. Jia Chi memenangi pingat emas dengan kutipan 9.33 mata. Foto BERNAMA

BANGKOK: Atlet Muay Thai negara Angie Yan Jia Chi mencipta sensasi pada penampilan sulung Sukan SEA, apabila memenangi pingat emas acara Wai Kru wanita pada temasya edisi ke-33 itu, di Stadium Tinju Lumpinee di sini, hari ini.

Pemenang pingat emas Kejohanan Dunia Senior Bawah 23 Tahun (U23) Persekutuan Muay Thai Antarabangsa (IFMA) sebanyak tiga kali bermula 2023 itu, mempamerkan persembahan cemerlang untuk mengatasi jaguh tuan rumah yang juga juara dunia Thanawan Thongduang.

Persembahan tersusun dan kemas menyaksikan Angie mengumpul 9.33 mata untuk menundukkan Thanawan, yang juga rakan segurunya selepas hanya mampu mengutip 9.20 mata pada final.

Bercakap kepada media, atlet kelahiran Johor berusia 21 tahun itu berkata beliau amat gembira dan berbangga, selepas segala masa serta keringat yang dicurahkan dalam latihan di bumi Thailand membuahkan hasil dengan kejayaan meraih emas itu.

“Dalam membuat persiapan ke sini saya tidak pulang ke rumah selama setahun, saya habiskan masa dengan berlatih dan menyertai kejohanan di luar.

“Saya sangat lega kerana ia telah tamat, saya tak sabar untuk pulang berjumpa dengan keluarga dan luangkan masa dengan mereka,” kata penuntut Universiti Sukan Kebangsaan Thailand, Kampus Bangkok dalam jurusan Sarjana Pelancongan dan Rekreasi itu ketika ditemui, di sini.

Angie berkata persiapannya ke Sukan SEA turut diuji, apabila beliau bergelut dengan kecederaan pada kedua-dua lutut yang dialaminya sejak 2023.

Beliau berkata demi memastikan beliau terus mengikuti jadual latihan serta pertandingan, Angie terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit.

“Ini disebabkan kesibukan saya tidak sempat untuk menjalani proses pemulihan yang sempurna,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Kejayaan Angie itu menghadiahkan emas pertama buat kem Muay Thai pada edisi kali ini.

Angie, seorang ‘Sumandak’ (gadis dalam bahasa Kadazandusun) mula meminati sukan Muay Thai kira-kira tujuh tahun lepas dan turut meraih pingat emas acara Wai Kru solo wanita pada Kejohanan Asia IFMA di Wilayah Thai Nguyen, Vietnam, awal tahun ini.

Angie yang dilahirkan di Johor hasil perkahwinan ibu berketurunan Sabah dan bapa dari Johor, turut mengharumkan nama Malaysia apabila mewakili negara mempamerkan sukan Muay Thai pada Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai sebahagian usaha promosi sukan itu pada peringkat global.

Beliau juga mencipta sejarah di Sukan Malaysia (SUKMA) apabila memenangi pingat emas pada edisi 2022 di Kuala Lumpur, iaitu kali pertama acara tersebut dipertandingkan dalam temasya berkenaan sebelum mempertahankan kejuaraan pada edisi 2024 di Sarawak.

-BERNAMA

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Final Jelajah Dunia 2025: Pearly-Thinaah lepasi halangan pertama
Next: Debut hasilkan pingat perak, tetap Istimewa – Ariana

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.