

SELANGAU: Seorang lelaki maut selepas lori tangki yang dipandunya dipercayai melanggar dinding jejambat di Simpang Mukah–Selangau, tengah malam tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kejadian itu pada 12.59 tengah malam.
Menurutnya, sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dan bantuan dari BBP Sibu Jaya bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah lori tangki melanggar dinding jejambat. Pemandu didapati tersepit pada bahagian pinggang dan kaki,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba membuat kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan pemotong penyebar hidraulik, ram teleskopik dan pemotong hidraulik untuk merenggangkan bahagian kenderaan yang tersepit pada mangsa.
“Pasukan bomba memindahkan mangsa ke tempat selamat menggunakan skop pengusung. Mangsa berumur 37 tahun seterusnya diserahkan kepada pihak KKM dan telah disahkan meninggal dunia. Operasi tamat pada 4.01 pagi,” ujarnya.
Oleh Akun Giman