
LOS ANGELES: Anak lelaki kepada pengarah terkenal Hollywood, Rob Reiner, akan didakwa atas dua pertuduhan pembunuhan tahap pertama berhubung pembunuhan kejam terhadap ibubapanya, kata ketua pendakwa raya Los Angeles semalam.
Nick Reiner, 32, yang mempunyai sejarah penyalahgunaan bahan terlarang sejak usia remaja, boleh berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan atas pembunuhan yang mengejutkan industri hiburan Hollywood itu, kata Peguam Daerah Nathan Hochman.

“Pertuduhan melibatkan dua pertuduhan pembunuhan tahap pertama dengan keadaan khas iaitu pembunuhan berbilang,” kata Hochman.
“Dia juga berdepan dakwaan khas kerana secara peribadi menggunakan senjata berbahaya dan mematikan, iaitu pisau. Pertuduhan ini membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol atau hukuman mati.”
Reiner dijangka dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin sebaik sahaja dia disahkan mampu hadir di Mahkamah Los Angeles.
Peguamnya, Alan Jackson, memberitahu wartawan bahawa setakat ini Reiner belum menerima pelepasan perubatan untuk hadir ke mahkamah, satu proses yang disifatkannya sebagai “bersifat prosedur”.
“Bailif memaklumkan bahawa Jabatan Sheriff akan menanganinya dari hari ke hari, dan kami berharap dia akan mendapat pelepasan esok supaya dapat dibawa ke mahkamah,” katanya.

Reiner ditangkap pada Ahad selepas mayat bapanya yang berusia 78 tahun dan ibunya, Michele Singer Reiner, 70, ditemui di kediaman mereka di kawasan mewah Brentwood, Los Angeles.
Reiner, pengarah filem terkenal termasuk When Harry Met Sally dan A Few Good Men serta isterinya dilaporkan maut akibat tikaman.
Menurut laporan media Amerika Syarikat, Nick Reiner dipercayai telah bertengkar dengan ibubapanya di sebuah majlis glamor Hollywood pada petang Sabtu.
Portal hiburan TMZ melaporkan bahawa mayat pasangan itu ditemui pada petang Ahad oleh anak perempuan mereka, yang memberitahu polis bahawa seorang ahli keluarga lain telah membunuh mereka.
Reiner, anak kepada pelawak legenda Carl Reiner, memulakan kerjaya seni hiburannya sebagai pelakon.
Beliau meraih kemasyhuran sebagai watak menantu yang dungu, Michael “Meathead” Stivic, dalam sitkom berpengaruh era 1970-an All in the Family, sebelum beralih ke bidang pengarahan.
Walaupun lebih dikenali sebagai pengarah, beliau sering membuat penampilan ringkas (cameo) dalam filem arahannya sendiri. Sebagai pengarah, beliau mencapai kejayaan besar di Hollywood.
Antara karya terkenalnya ialah mockumentari muzik rock klasik 1984 This Is Spinal Tap, filem fantasi The Princess Bride (1987), serta filem kematangan diri yang berpengaruh, Stand By Me.
Filem A Few Good Men, yang dibintangi bintang Hollywood Tom Cruise dan Jack Nicholson, menerima pencalonan Anugerah Akademi (Oscar) bagi kategori Filem Terbaik. – AFP