
DARO: Mangsa bot karam tiga hari lalu, ditemui pada jarak kira-kira lapan kilometer (km) dari tempat kejadian dalam kawasan perairan Tekajong.
Mangsa tersebut disahkan oleh ahli keluarganya sebagai Aldin Rakli, 59 tahun.
Ketua Polis Daerah Matu-Daro, DSP Rahim Mihos berkata, mayat mangsa dijumpai pada lebih kurang 11.50 pagi, oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
“Mayat dijumpai di perairan Tekajong iaitu lebih kurang 8 kilometer (km) dari tempat kejadian atau di sebelah Barat Laut Pulau Bruit.
“Mayat dikenal pasti oleh ahli keluarga mangsa dan telah dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut,” jelasnya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sementara itu, menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, operasi SAR hari ketiga dengan pencarian mangsa lemas sejauh dua batu nautika dari pesisir pantai.
Unit Dron Angkatan Pertahanan Awam (APM) meneruskan pencarian di kawasan pesisir.
“Pada 11.50 pagi, pasukan SAR telah menemui satu mangsa yang belum dikenal pasti beralamat di longitud latitud 0245.908’E1111.394′.
“Pada 1.01 petang, bot membawa mangsa selamat sampai di jeti Kampung Tekajong dan mayat telah diserahkan kepada pihak polis dan seterusnya pihak polis membawa mayat ke hospital,” katanya.
Oleh Akun Giman