Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Cucur cempedak viral tarik ramai penggemar, 300kg buah habis sehari
  • TEMPATAN

Eksklusif: Cucur cempedak viral tarik ramai penggemar, 300kg buah habis sehari

Utusan Sarawak 7 hours ago
IMELDA Jane Paukin. Foto Norman B

KOTA SAMARAHAN: Bau harum cucur cempedak panas yang sering ‘menggoda’ pengunjung di sekitar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) serta kawasan Batu 8, Penrissen, terus mencuri perhatian ramai hingga menjadikan gerai kecil milik seorang usahawan wanita sebagai tumpuan harian.

Di sebalik gerai yang tidak pernah sunyi itu, berdirilah Imelda Jane Paukin, 40, yang kini menjadi sebutan kerana kecekalan dan kepakarannya menghasilkan cucur cempedak yang viral sehingga habis terjual setiap kali dibuka.

Menurut Imelda, selain cucur cempedak, antara kuih yang turut menjadi pilihan pelanggan ialah wantan goreng, cucur pisang dan cucur sukun. Namun, resipi warisan keluarganya itu tetap menjadi bintang utama sehingga memerlukan bekalan buah yang besar setiap hari.

LARIS… Penggemar cucur cempedak beratur untuk membeli cucur cempedak viral. Foto Norman B

“Permintaan sangat tinggi sekarang. Saya perlukan kira-kira 300 kilogram (kg) cempedak sehari untuk memenuhi selera pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak semalam.

Beliau berkata, setakat ini bekalan buah cempedak tidak pernah menjadi isu kerana pekebun dari Serian sentiasa membekalkan cempedak segar bagi memastikan rasa dan kualiti cucur kekal konsisten.

“Alhamdulillah, memang senang dapat stok. Selagi buah cempedak segar, selagi itulah cucur kita kekal sedap,” jelasnya.

Imelda yang berniaga di pelbagai acara dalam kampus Unimas dan di gerai tetapnya di Batu 8, Penrissen, mengakui sokongan pelanggan menjadi nadi kekuatannya untuk terus bertahan dalam dunia perniagaan kecil.

“Harapan saya tidak besar. Saya cuma mahu bisnes ini terus maju, dapat bantu keluarga dan beri rezeki kepada orang lain juga,” katanya sambil tersenyum.

Beliau turut berkongsi prinsip yang dipegangnya sejak mula berniaga.

“Orang boleh tiru resipi saya, tapi orang tidak boleh tiru rezeki saya,” ujarnya penuh makna.

Dengan aroma cempedak yang menyapa dari jauh, tidak hairanlah gerai Imelda kini menjadi persinggahan wajib bagi peminat kuih muih, sekali gus mengukuhkan lagi fenomena cucur cempedak viral yang tidak menunjukkan tanda-tanda surut.

Oleh Norman B

Continue Reading

Previous: AirBorneo perlu masa, keseimbangan harga kunci perkhidmatan berkualiti di Sarawak
Next: KRU dan Judika bakal gegar malam sambutan Tahun Baharu 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.