Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Program kepimpinan Malaysia–UK lahirkan kohort kedua graduan di United Kingdom
  • PENDIDIKAN

Program kepimpinan Malaysia–UK lahirkan kohort kedua graduan di United Kingdom

Utusan Sarawak 5 hours ago
29 pemimpin kanan dari Malaysia dan rantau ini menamatkan PCCL di MIHE, United Kingdom, baru-baru ini. Foto: MyREF

MARKFIELD, United Kingdom: Seramai 29 pemimpin kanan dari Malaysia dan rantau ini menamatkan Sijil Profesional Program dalam Kepimpinan Kontemporari (PCCL) di Institut Pendidikan Tinggi Markfield (MIHE), menandakan satu lonjakan penting dalam usaha memupuk generasi pemimpin berwawasan global.

Program intensif itu dianjurkan oleh Yayasan Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREF) dengan kerjasama MIHE serta dilaksanakan bersama Institut Pengurusan Sarawak (MASA). Melalui gabungan kepakaran tempatan dan antarabangsa, PCCL muncul sebagai platform latihan yang terus mendapat perhatian di peringkat serantau.

Kohort kali ini dihimpunkan daripada pelbagai latar belakang kepimpinan termasuk pegawai kanan kerajaan, eksekutif korporat, ahli akademik, pemimpin NGO dan komuniti.

Kepelbagaian ini memberi dimensi pembelajaran yang lebih holistik dan mendalam bagi memperkukuh keupayaan kepimpinan adaptif.

Perjalanan latihan tiga bulan itu mencapai kemuncaknya menerusi minggu residensi di Markfield dari 24 hingga 30 November. Sepanjang tempoh tersebut, peserta menyertai modul lanjutan, sesi refleksi profesional dan pendedahan global yang membuka horizon pemikiran strategik mereka.

PEMIMPIN dari pelbagai sektor menyertai sesi profesional PCCL untuk memperkasa keupayaan kepimpinan adaptif. Foto: MyREF

Antara pengalaman eksklusif peserta ialah sesi akademik khas di University of Oxford, termasuk di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) dan Kolej Linacre. Pendedahan langsung kepada institusi bertaraf dunia itu dianggap sebagai antara komponen paling berimpak dalam memperkukuh keyakinan dan keupayaan kepimpinan antarabangsa.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Dr Jee Teck Weng berkata, PCCL membawa dimensi baharu kepada pendekatan kepimpinannya.

“Program ini membentuk saya menjadi pemimpin yang lebih inklusif dan memperkukuh peranan saya sebagai penghubung penting antara Malaysia dan United Kingdom,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Thomas Kana @ Kamarudin Kana dari HIKMAH Sarawak menegaskan bahawa PCCL memenuhi aspirasi melahirkan pemimpin masa depan.

“Ia menekankan kepimpinan berpandangan jauh, berintegriti serta inklusif demi mewujudkan masa depan yang lebih baik,” katanya.

Bagi Pengarah Pengurusan Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, Mohammad Fadzli Ngatmi, kepimpinan berkualiti adalah asas kemajuan negara.

“Kepimpinan membuka potensi manusia. Ia tentang memimpin dengan tujuan, nilai dan kebijaksanaan,” jelasnya penuh makna.

Seorang peserta antarabangsa dari Filipina, Ketua Pegawai Eksekutif Tudungpeople Filipina, Norhanie Lao Mama menyifatkan PCCL sebagai program yang memperkukuh ketahanan dan kepimpinan adaptif. “Saya belajar untuk memimpin dengan tujuan sambil terus terbuka kepada ilmu baharu,” katanya.

Kohort kedua ini turut disertai wakil pelbagai kementerian, jabatan negeri Sarawak, universiti seperti Unimas, Swinburne, i-CATS, UiTM, UPM, INCEIF serta wakil profesional sektor kejuruteraan, takaful, korporat, perundingan dan kemanusiaan. Kehadiran peserta Filipina menambah kekayaan jaringan profesional merentas sempadan.

Para graduan menegaskan komitmen untuk terus memperkasakan nilai kepimpinan beretika, berdaya saing global dan berpaksikan tanggungjawab sosial. Penganjur yakin mereka akan terus memainkan peranan penting dalam memacu kecemerlangan organisasi, pembangunan negara serta memperkukuh kerjasama antarabangsa.

Continue Reading

Previous: Perkukuh pendidikan alam sekitar melalui pembelajaran luar bilik darjah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.