
BEIJING: Mahkamah di Beijing hari ini mengarahkan Malaysia Airlines Berhad (MAS) membayar pampasan kepada keluarga lapan penumpang penerbangan MH370, lebih sedekad selepas pesawat itu hilang.
Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang dalam kenyataan berkata 47 saman lain telah ditarik balik selepas keluarga-keluarga tersebut mencapai penyelesaian di luar mahkamah dengan MAS dan cabang antarabangsa syarikat itu, Malaysia Airlines International.
Menurut mahkamah, pampasan yang diperintahkan pada Jumaat lepas merangkumi kos pengebumian, tekanan emosi dan kerugian lain dengan setiap keluarga menerima sekitar RM1.7 juta.
Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang itu hilang dari radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Walaupun pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan telah dijalankan, pesawat itu masih belum ditemui.
Dua pertiga penumpang adalah warganegara China, manakala selebihnya termasuk warganegara Malaysia, Indonesia, Australia, India, Amerika Syarikat, Belanda, dan Perancis.
Daripada 78 kes asal yang dibawa oleh keluarga penumpang selepas nahas itu, mahkamah berkata 23 kes masih belum selesai kerana keluarga berkenaan “belum memohon pengisytiharan kematian atau belum melengkapkan proses pengisytiharan”.
Keluarga lapan penumpang yang diberi pampasan oleh mahkamah telah diisytiharkan secara sah meninggal dunia.
Pengumuman mahkamah ini dibuat beberapa hari selepas pihak berkuasa Malaysia mengumumkan pencarian semula pesawat akan disambung pada akhir Disember, satu keputusan yang disambut baik oleh Kementerian Luar China dan keluarga mangsa.
-AFP