
BINTULU: Seorang lelaki ditemukan lemas hari ini selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam berhampiran rumah pekerja di Simpang Rumah Panjang Kiroh Bali, Tatau semalam.
Mangsa, Daniel Jumau, 23, didapati hilang pada 4.18 petang sebelum rakan-rakannya menemukan tuala dan selipar miliknya di tepi kolam namun gagal mengesannya.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau menerima panggilan kecemasan pada 4.18 petang.
“Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan namun gagal menjumpai mangsa setakat lewat petang semalam.
“Operasi hari kedua hari ini dilakukan dengan penglibatan 14 anggota BBP Tatau termasuk Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Zon 5 dari BBP Bintulu, bersama anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” menurut kenyataan itu.
Pasukan PPDA kemudian memulakan teknik pencarian di dalam air manakala pasukan lain menjalankan pencarian visual di permukaan.
Pada 10.41 pagi, penyelam PPDA melaporkan menemukan Daniel di dasar kolam pada kedalaman kira-kira enam meter, iaitu tidak jauh dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut pada 10.46 pagi manakala operasi SAR ditamatkan pada 11.01 pagi.
Operasi diketuai Ketua Balai BBP Tatau PBT II Herudin Ealhi itu turut melibatkan aset satu jentera LFRT, satu lori serta dua kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux.
-BERNAMA