
KUCHING: Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 akan berlangsung pada 16 dan 17 Disember ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), bagi membincangkan dasar fiskal, keutamaan ekonomi serta hala tuju pembangunan jangka panjang negeri itu.
Selain itu, antara tumpuan utama acara berkenaan ialah sesi khas bertajuk ‘A Moment with the Premier of Sarawak’, menampilkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang akan menggariskan aspirasi, keutamaan dan arah tuju fiskal bagi Belanjawan Sarawak 2026.
“Persidangan pada hari pertama akan membincangkan mengenai penjajaran fiskal Malaysia–Sarawak, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) serta peralihan Sarawak menuju ekonomi hijau, selain sesi khas bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
“Untuk hari kedua, akan diadakan forum mengenai e-invois dan semakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), diikuti sesi mengenai strategi pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta respons Malaysia terhadap ketidaktentuan perdagangan global. Abang Johari juga akan kembali untuk sesi kedua yang memfokuskan aspirasi belanjawan Sarawak,” kata Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam satu kenyataan hari ini.
UKAS berkata belanjawan negeri yang bertemakan ‘Empowering People, Advancing Prosperity, Building a Resilient Future’ itu mencerminkan komitmen Sarawak terhadap pertumbuhan inklusif, transformasi ekonomi serta daya tahan jangka panjang selaras dengan agenda pembangunan negeri dan kerangka ekonomi Malaysia MADANI.
Program dua hari itu dianjurkan dengan kerjasama Sarawak Centre of Performance Excellence Sdn Bhd (SCOPE), Leadership Institute of Sarawak Civil Service dan SALIHIN Academy, kata UKAS.
Turut dilancarkan pada persidangan itu ‘Doing Business in Sarawak’, dokumen yang mengandungi maklumat serta pandangan mengenai peluang pelaburan dan ekosistem ekonomi negeri berkenaan.
Pendaftaran bagi penyertaan persidangan tersebut kini dibuka dan sebarang pertanyaan sila hubungi SCOPE di 082-231230 atau e-mel kepada husna@scope.net.my.
-Bernama