
MIRI: Komuniti Kristian di Bario melakar sejarah baharu apabila Bangunan Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Kampung Baharu dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala dalam satu majlis ringkas, semalam.
Dalam ucapannya, Datuk Gerawat merakamkan penghargaan kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) atas penyaluran dana bagi pembinaan gereja tersebut, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan rumah ibadat di Sarawak.
“Sumbangan UNIFOR amat bermakna kerana bukan sahaja meringankan beban kewangan pembinaan gereja ini, tetapi juga menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam menyokong keperluan masyarakat, termasuk di kawasan pedalaman seperti Bario,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Gerawat turut mengucapkan terima kasih kepada warga jemaat, pemimpin gereja serta pasukan sukarelawan yang telah bertungkus-lumus memastikan gereja itu dapat disiapkan dengan baik.
“Inilah hasil semangat kesepaduan, kerjasama dan kasih Kristus dalam komuniti kita. Kejayaan ini menggambarkan kekuatan perpaduan masyarakat Bario,” tambahnya.
Beliau yakin gereja baharu itu akan menjadi pusat pelayanan lebih mantap, merangkumi penginjilan, latihan, perseketuan dan pembangunan rohani generasi masa kini dan masa hadapan.
Oleh Liong Chai Ling